DATUK Seri Mohamad Sabu mengetuai delegasi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi lawatan kerja ke Persekutuan Rusia bermula kelmarin sehingga 23 Mei ini.
Lawatan kerja itu selaras penyertaan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta delegasi KPKM ke 14th International Economic Forum “Russia-Islamic World: KazanForum” 2023.
KazanForum merupakan acara antarabangsa dianjurkan kerajaan Rusia melalui kerajaan Republik Tatarstan sejak tahun 2009 sebagai platform bagi memperkukuh kerjasama antara Rusia dengan negara-negara Islam.
Sebagai pengiktirafan, pada tahun 2022 Presiden Rusia telah menaik taraf KazanForum sebagai acara tahunan utama peringkat antarabangsa yang dianjur Rusia melibatkan anggota negara Pertubuhan Kerjasama Islam (Organisation of Islamic Cooperation – OIC).
Antara program utama di bawah KazanForum 2023 ialah Ekspo Halal Rusia 2023 yang melibatkan pameran dan promosi produk makanan halal di Rusia.
Menerusi perkongsian di Facebooknya, Mohamad memaklumkan melalui ekspo ini, Malaysia boleh meneroka potensi dan peluang mempromosi buah-buahan tropika yang sedia dieksport serta memperkenal produk makanan halal bukan sahaja kepada Rusia malah kepada negara-negara OIC yang turut menyertai KazanForum 2023.
Semasa di KazanForum 2023, beliau akan menyampaikan ucapan pada sesi meja bulat Malaysia dan Rusia bagi memberi gambaran dan menyatakan wawasan sektor pertanian dan keterjaminan makanan Malaysia.
Di samping itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan menyampaikan ucaptama pada sesi plenari forum tersebut dengan tema Teras Ekonomi: Kerjasama antara Rusia dan negara-negara OIC.
Dalam rangka lawatan kerja ini, Mohamad dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawat beliau iaitu.Menteri Pertanian Rusia, Dmitry N Patrushev di Moscow dan mesyuarat dua hala dengan Menteri Pertanian dan Makanan Republik Tatarstan, Marat Zyabbarov di Kazan.
Antara lain ia bagi membincangkan kerjasama pertanian antara Malaysia dan Rusia dengan mengutamakan akses pasaran produk pertanian Malaysia ke Rusia. – Malaysiapost