Nak pinjam RM70,000, peniaga rugi RM60,000
SEORANG peniaga kerugian hampir RM60,000 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan yang menawarkan pinjaman wang yang tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Mohd Sohaimi Ishak, berkata lelaki berusia 28 tahun itu membuat laporan polis berhubung kejadian itu semalam.
Menurutnya, mangsa mendakwa menerima satu mesej WhatsApp daripada seorang lelaki yang menawarkan pinjaman wang dengan memberi satu pautan kononnya bagi pinjaman secara atas talian yang mudah dan cepat.
“Mangsa yang berhasrat mengembangkan perniagaan berminat dengan tawaran itu dan ingin membuat pinjaman wang sebanyak RM70,000.
“Mangsa kemudian diminta berhubung dengan seorang lelaki lain bagi proses selanjutnya sebelum diberi penerangan berkaitan pinjaman itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
“Dia diminta membuat pembayaran dahulu kononnya disebabkan ‘skor kredit’ tidak layak dan mangsa kemudian membuat lapan transaksi pembayaran ke dalam lima akaun bank berlainan,” katanya.
Beliau berkata, jumlah keseluruhan transaksi adalah sebanyak RM56,880, namun pinjamannya masih tidak diluluskan.
“Mangsa mula curiga dan percaya telah ditipu apabila masih lagi diminta membuat bayaran untuk meningkatkan skor kreditnya,” katanya.
Mohd Sohaimi berkata, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan juga akan meliputi pembabitan ‘keldai akaun’ sekiranya ada.
“Polis menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan tidak mudah mempercayai sebarang tawaran pinjaman atas talian yang menjanjikan proses yang mudah dan cepat.
“Gunakan perkhidmatan atas talian yang disediakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) seperti National Scam Response Centre (NSRC), CCID Infoline, Semak Mule dan juga laman Facebook JSJK bagi mendapatkan maklumat berkaitan jenayah komersil,” katanya. – Malaysiapost