‘Nik Abduh masih ahli PAS, spekulasi sertai PH tak benar’ – Takiyuddin

PAS mengesahkan bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz masih lagi ahli parti itu.

Pengesahan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan itu sekali gus menafikan spekulasi Nik Mohamad Abduh mahu bersama Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, spekulasi yang bertiup kencang kononnya anak kepada bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu, untuk bersama Pakatan Harapan (PH) sebagai tidak benar.

“Tidak ada ura-ura mengenai perkara berkenaan. Siapa yang buat tuduhan, buktikan kerana bagi kita tidak ada asas,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sambutan Aidilfitri Ibu Pejabat Polis (IPK) Kontinjen (IPK) Kelantan, hari ini.

Baru-baru ini, tular gambar pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Nik Mohamad Abduh.

Pertemuan itu dikatakan diadakan di Hotel Perdana, Kota Bharu ketika Anwar mengadakan lawatan kerja ke Kelantan, baru-baru ini.

Ia turut dihadiri abang kepada Nik Abduh iaitu Nik Omar dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Susulan pertemuan mereka itu, ramai yang membuat spekulasi bahawa Nik Abduh bakal menyertai PH.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, PAS menggugurkan Nik Mohamad Abduh sebagai calon parti itu dan kerusi yang ditandingi sebelum ini diberikan kepada Muhamad Shahir Che Sulaiman.

Nik Omar pula membuat kemunculan di pentas politik dengan memilih untuk bersama Pakatan Harapan (PH) dan bertanding di kerusi Parlimen Pasir Salak pada PRU15. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights