Pembaikan paip pecah, 99 kawasan di Selangor bakal terjejas

PENGURUSAN Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan melaksanakan kerja-kerja kecemasan pembaikan paip pecah di Jalan Bukit Cerakah, Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor.

Pelaksanaan kerja-kerja itu bakal menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual di 99 kawasan di Wilayah Klang/Shah Alam dan Kuala Selangor bermula jam 9 pagi, 22 Mei ini.

Menurut Air Selangor, kerja pembaikan dijangka siap pada jam 3 pagi, 23 Mei 2023.

Susulan itu katanya, bekalan air akan mula disalurkan kepada pengguna secara berperingkat apabila kerja pembaikan siap dan sistem agihan utama bekalan air telah distabilkan.

“Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada jam 9 malam, 24 Mei 2023.

“Kerja-kerja pembaikan kecemasan ini melibatkan paip saluran utama berukuran 2,200 mm diameter dan melibatkan kawasan agihan berskala besar.

“Oleh demikian, tempoh pembaikan dan pemulihan mengambil masa yang agak lama,” katanya menerusi kenyataan.

Air Selangor juga memaklumkan, jika kebocoran menjadi kritikal, kerja kecemasan pembaikan paip pecah tersebut akan dimulakan lebih awal daripada tarikh yang telah dimaklumkan.

Tambahnya, tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan pada sistem agihan bekalan air.

“Air Selangor akan menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan yang terjejas dengan memberi keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

“Air Selangor ingin menasihatkan para pelanggan yang terjejas untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights