Penganggur hantuk kening isteri dijel tiga bulan

PADAH menghantukkan kepala ke kening isteri sehingga cedera dan menerima menerima tujuh jahitan, seorang penganggur dihukum penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini.

Majistret Wong Chai Sia menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Faizal Maula Azanan, 33, selepas dia mengaku bersalah menyebabkan kecederaan ke atas isterinya, Noriza Mohd Nordin, 35, dengan menghantukkan kepalanya di kening kanan mangsa.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah unit Pangsapuri Sri Tioman 2 di Jalan Pertahanan, Setapak, pada jam 4 pagi, Sabtu lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman maksimum dua kali ganda bagi sabitan di bawah Seksyen 323.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap iaitu pada 13 Mei lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, B Sareeka, memohon hukuman penjara setimpal dengan mengambil kira kecederaan dihadapi mangsa sehingga perlu menerima tujuh jahitan.

Terdahulu dalam rayuannya, tertuduh yang tidak diwakili peguam mengakui menyesali perbuatan itu dan berjanji mahu membaiki kehidupan. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights