Pesakit jari koyak lewat diberi rawatan kerana banyak kes kritikal

BANYAK kes kritikal dan semi kritikal di Hospital Jempol, Negeri Sembilan dikenal pasti punca pesakit jari terkoyak lewat diberi rawatan.

Pengarah Hospital Jempol, Dr Zul Iskandar Zainudin berkata, perkara itu sebagai menjelaskan hantaran tular di Facebook pada 16 Mei mengenai kelewatan seorang pesakit mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan dan Trauma hospital terbabit.

Katanya, siasatan yang dijalankan mendapati terdapat ramai pesakit kes kritikal dan semi kritikal yang memerlukan rawatan intensif daripada pegawai perubatan pada hari kejadian.

“Hospital Jempol menghargai keprihatinan pelanggan untuk terus memberi cadangan penambahbaikan kepada pengurusan perkhidmatan kesihatan di semua fasiliti kesihatan,” katanya.

Terdahulu, tular di Facebook seorang individu yang kecewa dengan perkhidmatan hospital berkenaan.

Dia mendakwa menghantar seorang kakitangannya yang mengalami jari terkoyak pada jam 12 tengah hari, namun dakwanya sehingga jam 9 malam, belum dipanggil untuk diberi rawatan.

“Bad service! Dari pukul 12.30 tengah hantar staf jari terkoyak sampai pukul 9 malam masih tak panggil-panggil lagi.

“Pukul 10.45 malam baru (doktor) panggil untuk jahit (jari terkoyak). Operation (pembedahan) besar pun tak lama macam ini,” kata lelaki itu. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights