Ruang udara Langkawi ditutup, dron dilarang operasi sempena LIMA’23

Ruang udara Langkawi ditutup, dron dilarang operasi sempena LIMA’23

RUANG udara Langkawi akan ditutup bermula esok hingga 27 Mei ini bagi memberi laluan kepada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA’23).

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Kapten Norazman Mahmud, berkata penutupan itu dibuat berdasarkan Aeronautical Information Publication (AIP) Supplement.

Beliau berkata, orang ramai juga diingatkan bahawa pengoperasian dron di Langkawi juga adalah dilarang sepanjang tempoh sama.

“Ini bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini terutama membabitkan aspek keselamatan dan sekuriti orang ramai serta pesawat yang sedang beroperasi di ruang udara Langkawi.

“Penggunaan dron tanpa kelulusan dikhuatiri akan mengganggu latihan dan pertunjukan udara sepanjang penganjuran LIMA’23,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sebarang aktiviti penerbangan termasuk pengendalian aktiviti dron boleh mengundang bahaya kepada orang awam atau harta benda.

Katanya, arahan itu dibuat mengikut bawah Seksyen 4 Akta Penerbangan Awam 1969 [Akta 3], Peraturan 98 dan Peraturan 140-144 Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 dan Civil Aviation Directives (CADs).

LIMA’23 akan berlangsung di Langkawi mulai 23 hingga 27 Mei ini, dijangka menarik sekurang-kurangnya 600 syarikat pempamer membabitkan 20 negara. – Malaysiapost

Komen