Sukan SEA: Malaysia catat pencapaian terburuk

KONTINJEN Malaysia mencatat pencapaian terburuk dalam sejarah Sukan SEA dengan menduduki tempat ketujuh dan gagal mencapai sasaran 40 pingat emas pada edisi 2023 yang berakhir di Kemboja, malam tadi.

Pada hari semua acara pingat berakhir semalam, pencapaian negara pada edisi ke-32 di Phnom Penh lebih mengecewakan, malah lebih buruk ketika temasya sama di Hanoi, Vietnam, tahun lalu, lapor Bernama.

Selepas temasya sukan dwitahunan itu melabuhkan tirai, kontinjen negara akan pulang dengan detik hitam di pentas Sukan SEA apabila hanya mengutip 34 pingat emas, 45 perak dan 97 gangsa untuk menghuni tangga ketujuh keseluruhan.

Malaysia mengakhiri cabaran pada kedudukan keenam keseluruhan dengan 39 emas, 45 perak dan 90 gangsa di Hanoi, tahun lalu dan sebelum itu pada kedudukan sama pada edisi 1983 di Singapura.

Lebih mengecewakan apabila Malaysia dengan 676 atlet berada di bawah Singapura, Filipina dan Kemboja.

Pada saingan semalam, Malaysia menambah empat pingat emas menerusi atlet sukan tari, Sam Jee Lek, pasukan hoki lelaki dan wanita serta atlet kick boxing Ahmad Nor Iman Hakim Rakib.

Selepas tamat saingan hari ke-11, Vietnam muncul juara keseluruhan apabila mengutip keseluruhan 136 emas, 105 perak dan 114 gangsa, diikuti Thailand 108-95-108 manakala Indonesia di tempat ketiga 85-81-109.

Tuan rumah Kemboja di kedudukan keempat dengan mengutip keseluruhan 81-74-126 manakala Filipina di tempat kelima 58-86-116 sementara Singapura di posisi keenam 51-42-64. – Malaysiapost

Kredit foto: Olympic Council of Malaysia

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights