Tidak wujud rancangan jahat hapus kaum, agama di Malaysia – Kit Siang

Tidak wujud rancangan jahat hapus kaum, agama di Malaysia – Kit Siang

VETERAN DAP, Lim Kit Siang menasihati golongan muda pelbagai kaum dan agama di negara ini supaya mempunyai visi menjadi juara dunia dan bukannya tersangkut dengan isu-isu perkauman dan keagamaan dari abad yang lepas.

Beliau berkata, sekiranya setiap masyarakat di negara ini percaya wujud rancangan jahat untuk mengancam agama dan kaum mereka maka tidak akan ada keamanan, persefahaman, toleransi dan keharmonian antara etnik dan agama di Malaysia.

“Malaysia juga tidak akan menjadi contoh dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tegas Kit Siang, beliau percaya tidak wujud rancangan jahat untuk menghapuskan mana-mana kaum atau agama di Malaysia.

Sebaliknya, beliau menegaskan perkara itu hanya wujud di dalam imaginasi dan retorik dalam kalangan mereka yang mahu satu kaum untuk membenci kaum yang lain.

“Atau untuk satu kumpulan agama membenci kumpulan agama yang lain atau untuk membuatkan satu kumpulan agama mempersoalkan persefahaman dan toleransi kumpulan agama yang lain.

“Perkara ini bertentangan dengan dua matlamat prinsip Rukun Negara, iaitu, ‘Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya’ dan ‘Menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai-bagai corak’,” katanya.

Justeru, Kit Sianmg berkata, Parlimen yang bakal bersidang selama tiga minggu bermula Isnin minggu hadapan adalah peluang terbaik untuk menggerakkan usaha penyatuan negara.

“Ia dengan memastikan semua 222 Ahli-Ahli Parlimen menyokong dan mengiktiraf kepentingan lima prinsip-prinsip Rukun Negara

“Perkara ini akan menjadi ujian semangat patriotisme dan nasionalisme Ahli-ahli Parlimen terhadap konsep Malaysia seperti yang dibayangkan oleh tokoh-tokoh kemerdekaan negara, termasuklah tiga Perdana Menteri terawal negara yang juga merupakan Presiden-presiden Umno,” katanya. – Malaysiapost

Komen