‘Anwar: The Untold Story’ ditayang di pawagam seluruh negara hari ini

FILEM yang mengangkat perjuangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu ‘Anwar: The Untold Story’ akhirnya menemui penonton di pawagam seluruh negara, bermula hari ini.

Filem garapan pengarah dari Indonesia, Viva Westi itu dibintangi Farid Kamil yang menggalas watak Anwar manakala aktres terkenal Indonesia Acha Septriasa membawa watak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Antara pelakon lain yang turut membintangi filem yang diusahakan pembikinannya sejak 2021 dengan menelan belanja sebanyak RM10 juta ini ialah Hasnul Rahmat, Firdaus Karim, Saskia Chadwick, Piet Pagau dan Dewi Irawan.

Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin turut bekerjasama dengan komposer terkenal Indonesia, Andi Rianto menerusi lagu ‘Menjaga Cintamu’ yang merupakan lagu Official Sound Track (OST) bagi filem ‘Anwar: The Untold Story’.

Filem berkenaan menceritakan perjalanan hidup Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dalam perjuangannya menentang amalan rasuah yang mencetuskan tempoh kebangkitan politik yang dikenali sebagai gerakan reformasi.

Penerbit Eksekutif filem tersebut, Zulkiflee Anwar Haque atau lebih dikenali sebagai Zunar berkata, ‘Anwar: The Untold Story’ mengisahkan perjuangan dan pengorbanan Anwar melawan rasuah yang turut dibantu dengan kesetiaan sang isteri.

“Filem ini memfokuskan bagaimana Anwar tegas menolak berbagai jenis imbuhan dan wang tunai daripada ‘cukong-cukong’ (pemilik perusahaan) besar.

“Juga bagaimana dia (Anwar) enggan menggunakan wang rakyat untuk ‘bailout’ (pakej penyelamatan) syarikat anak pemimpin tertentu yang kerugian berbilion ringgit,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Zunar berkata, Anwar telah difitnah dengan sebuah konspirasi besar, dipecat, dipukul dan dibiarkan tanpa rawatan perubatan hingga beberapa hari. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights