KHAIRY Jamaluddin berhak untuk menyertai mana-mana parti kerana dia bukan lagi ahli Umno, jelas Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, terpulang kepada bekas Ahli Parlimen Rembau itu ingin menyertai mana-mana parti.
“Itu hak dia nak ke mana pun. Dia tidak lagi menjadi ahli Umno,” katanya ketika ditanya mengenai tawaran kepada Khairy oleh Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyertai parti komponen Perikatan Nasional (PN).
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) di ibu negara hari ini.
Ditanya sama ada beliau akan membuat tawaran balas kepada bekas Ketua Pemuda Umno itu, Ahmad Zahid enggan mengulas mengenainya.
“Saya tidak akan kongsikan strategi, kalau saya kongsikannya ia tidak lagi menjadi strategi,” katanya.
Muhyiddin semalam mengakui menawarkan jawatan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu kepada Khairy, jika beliau mahu menyertai parti itu.
Beliau yang juga Pengerusi PN mendedahkan, tawaran berkenaan dikemukakan kepada Khairy selepas bekas Menteri Kesihatan berkenaan dipecat daripada Umno, pada Januari lalu.
Menurutnya, tiada desakan untuk bekas Menteri Kesihatan itu membuat keputusan, namun berpendapat sekarang adalah masa yang sesuai kerana Pilihan Raya Negeri (PRN) akan diadakan tidak lama lagi di enam negeri. – Malaysiapost