Jangan guna isu kalimah Allah untuk ‘kaut’ keuntungan politik ketika PRN

Jangan guna isu kalimah Allah untuk ‘kaut’ keuntungan politik ketika PRN

SEMUA ahli politik diingatkan agar berhenti untuk menjadikan isu kalimah Allah sebagai modal politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.

Menteri Dalam Negeri,Datuk Seri Saifuddin Nasution, berkata semua pihak harus bertenang dan membiarkan kerajaan menyelesaikan isu itu tidak lama lagi.

“Saya gesa semua ahli politik ambil tanggungjawab isu ini, mereka semua tahu dan sambil nak kaut keuntungan politik jangan belakangkan fakta.

“Mahkamah tidak pernah putuskan soal agama. ianya adalah soal pelanggaran terhadap keputusan Kabinet dan arahan pentadbiran,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata, Kabinet belum memutuskan kementerian mana yang akan mengetuai usaha mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah Allah kepada Majlis Raja-Raja.

Beliau berkata, biar pun kuasa Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 adalah daripada kementeriannya namun perkara itu belum diputuskan oleh jemaah menteri.

“Kabinet akan tentukan, kalau dari segi akta yang menjadi punca kuasa itu adalah Akta Penerbitan Mesin Cetak dibawah kawal selia KDN.

“Tapi yang namanya mengemukakan rencana yang komprehensif ia digunakan untuk kawal selia oleh Majlis Raja-Raja, saya fikir Kabinet akan diputuskan,”

Semalam, Kabinet mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah untuk mempersembahkan cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah Allah kepada Majlis Raja-Raja.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia bagi menyelesaikan isu kalimah Allah secara menyeluruh dan bersepadu, dan kerajaan komited memperkukuh perpaduan dan keharmonian di antara kaum dan agama di Malaysia.

Perdana Menteri memaklumkan, mesyuarat Jemaah Menteri semalam turut membincangkan mengenai keputusan Peguam Negara untuk menarik balik rayuan terhadap kes seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill berhubung bahan penerbitan yang mengandungi kalimah Allah. – Malaysiapost

Komen