Jordan, Bahrain sasaran Harimau Malaya kutip mata

HARIMAU Malaya bertekad menjadikan Jordan dan Bahrain sebagai lubuk memperolehi mata dalam pusingan akhir Piala Asia, tahun depan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, Harimau Malaya akan memastikan tidak pulang dengan tangan kosong dari Qatar.

Tegasnya, walaupun Malaysia diletakkan bersama-sama Korea Selatan, Jordan dan Bahrain di kumpulan E, namun FAM mahukan skuad negara membuat kejutan.

“Harap Harimau Malaya dapat lakukan sesuatu khususnya semasa menentang Jordan dan Bahrain, walaupun kita tahu rankingnya lebih tinggi,” katanya pada Majlis Hari Raya Aidilfitri 2023 FAM-MFL-AFL di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.

Hamidin menyifatkan Korea Selatan bukan lagi bertaraf Asia sebaliknya berkelas dunia manakala tiga lagi pasukan yang berada di Kumpulan E memiliki kekuatan yang tidak jauh perbezaannya.

Justeru, Malaysia perlu berwaspada dan cuba mengutip mata ketika bertemu dua lagi pencabar tersebut yang boleh membantu pasukan meloloskan diri dikalangan 16 negara ke pusingan kedua.

Demi memastikan Harimau Malaya dapat memberi saingan di Doha tahun depan, pihaknya sudah mengatur jadual persiapan bermula Jun sehingga Januari.

“Harapan kita yang mustahaknya ialah ketika menentang Kepulauan Solomon dan Yaman, kemudian mungkin akan pergi China pada September dan satu negara lagi yang belum boleh ditetapkan,” katanya.

Barisan bimbingan Kim Pan Gon akan beraksi pada Pesta Bola Merdeka yang bakal disertai Palestin, India atau pun Lubnan.

Selepas itu, tugasan antarabangsa mereka pada November diisi dengan pusingan kelayakan Piala Dunia/ Piala Asia berikutnya.

Sebelum membuka tirai kempen sebenar dari 12 Januari hingga 10 Februari depan, skuad negara sedang memujuk Australia bermain dalam aksi persahabatan di Bukit Jalil seterusnya dijadual berdepan Oman di Doha.

Malaysia akan memulakan saingan kumpulan E menentang Jordan 15 Januari di Stadium Al Janoub, Al Wakrah yang merupakan venue Piala Dunia 2022.

Lima hari kemudian Bahrain menanti di Stadium Jassim bin Hamad, Doha manakala perlawanan terakhir pula berdepan Korea Selatan pada 25 Januari di Stadium Antarabangsa Khalifa, Al Rayyan yang turut melangsungkan aksi Piala Dunia tahun lalu. – Malaysiapost

Kredit Foto : The Star

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights