BEKAS Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin meminta pemimpin dan ahli PAS menghentikan desakan kepada kerajaan membatalkan konsert siri jelajah kumpulan Coldplay ke negara ini.
Beliau yang turut bosan dengan polemik yang berlangsung susulan konsert kumpulan rock terkenal dari Britain itu yang dijadual pada 22 November depan, turut meminta semua pihak ‘berhenti bercakap’ soal berkenaan.
“Kalau tak nak pergi Coldplay, jangan pergi, itu saja. Boleh tak kita berhenti bercakap pasal ini semua?
“Saya pun ada kawan-kawan dalam PAS. Konsert semua tak boleh… batalkan konsert,” katanya.
Beliau berkata demikian melalui podcast bersama bekas Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan di YouTube, semalam.
Terdahulu Khairy diajukan soalan oleh Shahril mengenai tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengalu-alukan kedatangan kumpulan yang didakwa sesetengah pihak sebagai menyokong golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) itu.
Menjawab soalan itu lagi, Khairy berkata, memang wajar Anwar membuka ruang untuk Coldplay mengadakan persembahan di negara ini kerana ia satu perniagaan yang menguntungkan.
Menurut Khiary, beliau sendiri sudah lama teruja untuk menonton konsert kumpulan yang terkenal dengan lagu Yellow dan Fix You itu namun ‘tidak berkemampuan.’
“Kita di Malaysia agak ketagihan konsert. Selalu dia (Coldplay) bypass Malaysia, tapi kali ini kita dikejutkan dengan berita bagus, Coldplay datang Malaysia pada November.
“Saya tak pernah tengok Coldplay macam saudara Shahril sebab tu tunggu mereka datang sini. Saya bukan golongan T20.
“Adakah memberi kebaikan? Sudah tentu, ia adalah konsert besar. Kalau Coldplay tak main (adakan konsert) di negara jiran, orang dari negara itu akan datang ke negara kita, macam kita pergi Singapura.
“Silap-silap tiket kalau dah habis dalam 5 minit mungkin boleh tambah satu malam lagi. Mungkin, mungkin… dan kita akan dapat perniagaan. Itu yang kita perlukan, kita perlukan keterujaan,” katanya.
Sementara itu, Shahril berkata, beliau pernah meminati dan menonton konsert Coldplay sewaktu menuntut di United Kingdom (UK) suatu ketika dulu.
Namun, katanya, ketika itu beliau tidak berpuas hati dengan persembahan secara langsung dibuat band berkenaan.
“Sebabnya, saya tak suka ‘live performance’ mereka. Saya hanya suka dua album awal diterbitkan, tapi lepas tu mereka dah jadi terlalu komersial, maaf kalau ada tak suka saya cakap begini,” katanya.
Shahril turut mempersoalkan mengapa PAS tidak mengkritik atau membatalkan beberapa konsert berskala besar pernah diadakan sewaktu parti itu berada dalam kerajaan.
“Ada konsert sewaktu PAS jadi kerajaan tapi ‘tak berbunyi’ pula. Ini satu lagi contoh mudah mengkritik, apabila serangan mereka tak melekat,” katanya.
Sebelum ini, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Nasrudin Hassan mahu kerajaan membatalkan konsert Coldplay kera ia tidak membawa sebarang kebaikan untuk negara, agama dan rakyat negara ini.
Malah, Nasrudin mempersoalkan jika tindakan kerajaan itu bertujuan mahu menyuburkan budaya hedonisme dan songsang di negara ini
“Batalkan persembahan kumpulan ini. Tiada manfaatnya untuk negara dan rakyat,” katanya. – Malaysiapost