KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) kini bekerjasama dengan Persatuan Perenang dan Jurulatih Renang Malaysia (MASWIM) bagi memperkenalkan program teknik asas berenang untuk kanak-kanak enam hingga 12 tahun.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata inisiatif baharu itu antara lain bertujuan mengurangkan kadar kematian akibat lemas melibatkan kanak-kanak di seluruh negara.
Menurutnya, program dinamakan KLAS itu melibatkan penyertaan percuma khusus untuk kanak-kanak daripada keluarga B40 yang berusia enam hingga 12 tahun.
Katanya, antara objektif pelaksanaan program adalah mendedahkan peserta dengan kaedah dan teknik berenang yang betul, selain membina keyakinan dan mengurangkan ketakutan peserta dalam air.
Katanya, ia juga bagi membudayakan gaya hidup sihat dan aktif menerusi aktiviti berenang.
“Program ini menyasarkan penyertaan 720 kanak-kanak di seluruh negara.
“Pemilihan lokasi penganjuran KLAS Renang ini adalah mengikut statistik kadar kematian tertinggi akibat lemas dalam kalangan kanak-kanak (mengikut daerah) dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2022,” katanya.
Selain itu kata Hannah, dengan mengambil kira fenomena cuaca panas yang sedang melanda negara, penganjuran program ini akan menitikberatkan beberapa langkah pencegahan.
Antaranya ia akan dijalankan di fasiliti tertutup yang mana penilaian lokasi akan dibuat daripada semasa ke semasa.
“Pihak Urus Setia JBSN sedang menyaring penyertaan secara berperingkat berdasarkan rekod pra pendaftaran yang telah dibuka dan dihebahkan di media sosial KBS dan JBSN bermula 19 April 2023.
“Peserta yang terpilih akan menjalani enam sesi latihan renang dalam tempoh tiga ke enam minggu,” katanya. – Malaysiapost