TAN Sri Noh Omar mendedahkan pada tahun 2005 terdapat satu kontena mengandungi kitab Injil menggunakan kalimah Allah cuba dibawa masuk ke Malaysia.
Beliau yang ketika itu Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) berkata, ketibaan kitab Injil yang ditulis dalam Bahasa Indonesia di Pelabuhan Klang telah dimaklumkan oleh bekas Ketua Setiausaha, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof.
“Saya mengarahkan kontena itu tidak dibenarkan masuk ke dalam negara. Saya merasakan ini mungkin perancangan pihak tertentu untuk mengimport bahan bacaan berbentuk dakwah bagi sesuatu agama yang boleh mengelirukan akidah umat Islam.
“Ketika itu kerajaan Barisan Nasional (BN) satu kerajaan yang kuat dan mempunyai sokongan 198 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat iaitu sokongan lebih dua pertiga, maka tiada mana-mana pihak pertikai tindakan tersebut,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Sementara itu Noh berkata, beliau menyokong kenyataan Majlis Agama Islam Selangor yang tidak bersetuju dengan tindakan Kerajaan Persekutuan menarik balik kes rayuan kalimah Allah kepada Mahkamah Rayuan.
Tegasnya, isu itu bukan sahaja berkaitan pentadbiran, istilah dan keselamatan, tetapi melibatkan akidah umat Islam serta pentadbiran agama Islam yang berada di bawah bidang kuasa Raja-Raja Melayu di setiap Negeri.
Jelasnya, mahkamah tempat terbaik untuk mencari jalan penyelesaian mengenai isu kalimah Allah dan sekiranya keputusan mahkamah tidak memihak kepada rayuan Kerajaan Persekutuan, maka Kerajaan Madani boleh meminda undang-undang sedia ada.
“Agar perkataan kalimah Allah, baitullah, kaabah dan solat hanya boleh digunakan oleh orang Islam sahaja atau membuat undang-undang baru yang mempunyai maksud yang sama.
“Walaupun undang-undang tersebut berkemungkinan hanya terpakai di Wilayah Persekutuan, tetapi ia boleh dijadikan panduan kepada kerajaan-kerajaan negeri untuk meminda atau membuat enakmen baharu berkaitan isu ini,” katanya. – Malaysiapost