SEORANG pemimpin PAS mengingatkan umat Islam adakah tidak mengambil pengajaran daripada ‘peringatan’ Allah terhadap peristiwa bencana alam serta pandemik Covid-19 sebelum ini.
Ia dinyatakan bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS, Ahmad Dasuki Abdul Rani susulan laporan tiket konsert kumpulan rock popular Britain, Coldplay habis dijual.
Menerusi hantaran di Facebooknya, beliau turut melampirkan tangkap layar sebuah portal dengan tajuk: Tiket konsert Coldplay ‘sold out.
“Jika kalian ingat dan tak lupa terhadap ingatan Allah setiap hujung tahun sahaja, ada sahaja peristiwa dan petunjuk Allah yang terjadi antaranya tsunami, banjir, Covid-19 selama dua tahun ini, tanah runtuh dan berbagai-bagai lagi yang Allah ingatkan kepada hambaNya.
“Apakah kita masih tidak mengambil pengajaran dari itu semua?
“Bagi sesiapa yang berhasrat dan membeli tiket ini, jika pun kalian tidak berasa takut dengan ingatan Allah ini, bantulah orang yang tak bersalah agar tidak menyokong program laknat ini,” katanya.
Media melaporkan, tiket konsert Coldplay: Music of the Spheres World Tour yang menjadi dijadual pada November depan, habis dijual semalam, sehari selepas jualan dibuka khusus untuk pengguna kad CIMB.
Salah satu penganjur konsert, Live Nation mengumumkan penjualan tiket ditutup kira-kira 1 tengah, kurang empat jam selepas jualan umum dibuka pada jam 10 pagi.
Kelmarin, prajualan tiket konsert Coldplay menyaksikan 400,000 peminat yang menunggu untuk membeli tiket secara maya, sekali gus mencipta rekod baharu buat penganjur GoLive Asia.
Baru-baru ini, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Nasrudin Hassan menggesa kerajaan membatalkan konsert Coldplay yang dijadualkan pada November ini.
Beliau mendakwa kehadiran kumpulan itu ke Malaysia seolah-olah kerajaan menggalakkan budaya menyeleweng dan hedonisme.
Dalam catatan di Facebook, Nasrudin melampirkan gambar vokalis Coldplay, Chris Martin, sedang mengangkat bendera lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) pada konsert di London terdahulu. – Malaysiapost