KETUA Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari sepatutnya bertanya kepada Datuk Seri Shahidan Kassim mengenai kegagalan Kontinjen Malaysia mencapai sasaran 40 pingat emas pada Sukan SEA 2023 di Kemboja
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata adalah lebih wajar sekiranya Ahmad Fadhli bertanya pendapat Ahli Parlimen Arau itu sebelum ‘buka mulut’ mengenai pencapaian kontijen Sukan SEA negara.
“Mereka sepatutnya bercakap dengan Shahidan Kassim, sebelum ‘post’ ke media sosial.
“Mereka sepatutnya tanya Datuk Seri Shahidan apa pendapat beliau mengenai Sukan SEA sebelum PAS buka mulut,” katanya sewaktu sidang media Liga Sepak Takraw (STL) Emas Anuar 2023, hari ini.
Terdahulu, Kontinjen Malaysia sekali lagi mencatatkan pencapaian terburuk dalam sejarah Sukan SEA dengan menduduki tempat ketujuh dan gagal mencapai sasaran 40 pingat emas yang ditetapkan sebelum ini pada edisi 2023 di Kemboja, malam kelmarin.
Pencapaian negara pada edisi ke-32 di Kemboja lebih mengecewakan, malah lebih buruk ketika temasya sama di Hanoi, Vietnam, tahun lalu.
Dalam sejarah Sukan SEA, kutipan pingat terbesar kontinjen negara biasanya hadir daripada sukan olahraga dan renang, tetapi sejak beberapa temasya dan yang terbaru di Kemboja, kedua-dua sukan tersebut gagal berbuat demikian.
Untuk rekod, Shahidan merupakan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) serta Persekutuan Renang Malaysia (MS).
Kelmarin, Ahmad Fadhli menggesa Hannah dan Timbalannya, Adam Adli memohon maaf secara terbuka atas kegagalan negara mencapai sasaran 40 pingat emas yang ditetapkan sebelum ini.
Ahmad Fadhli berkata, KBS juga perlu membuat pasca nilai bagi mengetahui punca sebenar dan tidak hanya menyalahkan atlet semata-mata. – Malaysiapost