KETUA Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari mendakwa kini menjadi sasaran ‘cybertrooper’ susulan kenyataannya mengenai pencapaian terburuk kontinjen Malaysia di Sukan SEA di Kemboja yang berakhir kelmarin.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, berkata laman media sosialnya ‘diserbu’ tentera siber kerajaan yang kini bagaikan lalat kepanasan susulan kritikannya itu.
Menurutnya, keadaan paranoid berlebihan itu adalah tidak wajar kerana beliau hanya mencadangkan agar pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meminta maaf atas pencapaian terburuk negara dalam temasya sukan berkenaan.
“Padahal saya tidak mengkritik batang tubuh Menteri dan Timbalan, tidak pula menyuruh mereka meletakkan jawatan dan tidak pula meminta mereka bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kegagalan Malaysia.
“Kerana perlu difahami tempoh usia kabinet sekarang yang mustahil untuk dilaksanakan perancangan jangka panjang yang membuahkan hasil hari ini.
“Sekadar mencadangkan permohonan maaf untuk menyejukkan hati peminat sukan tanah air dan mencari penyakit sebenar yang pada hemat saya ialah pengurusan di peringkat-peringkat tertentu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Ahmad Fadhli berkata, cadangan itu tidak dihiraukan, sebaliknya keluar ‘lalat’ beramai-ramai mempertahankan kegagalan itu dan ada pula membandingkan pencapaian Malaysia dengan kedudukan Kelantan di Sukan Malaysia (SUKMA).
“Alahai saudara, sejak bila kerajaan negeri Kelantan diberikan kepercayaan untuk mengetuai Majlis Sukan Negeri (MSN) untuk menghantar kontinjen SUKMA?
“Tidakkah anda sedar bahawa polisi Umno/Barisan Nasional (BN) sejak tahun 1990, exco sukan negeri sentiasa dikesampingkan dari terlibat dengan MSN?
“Polisi songsang ini hanya berakhir apabila berakhirnya kerajaan Umno/BN pada tahun 2018,” katanya.
Beliau berkata, bermula dari itu, barulah exco sukan negeri terlibat dengan MSN, namun ditolak pula menjadi tuan rumah ketika Covid-19.
“Berapa kali SUKMA kah kerajaan negeri Kelantan boleh terlibat secara organisasi setakat ini?
“Bandingkanlah epal dengan epal, bukannya epal dengan seluang kalau begitu, semua orang yang nak bercakap soal negara kena tengok dulu negeri masing-masing, begitu?” katanya. – Malaysiapost