Pensyarah rugi RM2.5 juta diperdaya ‘ejen insurans’

SEORANG pensyarah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) rugi lebih RM2.5 juta selepas wang simpanannya lesap akibat menjadi mangsa sindiket penipuan.

Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, wanita berusia 52 tahun itu pada awalnya menerima panggilan daripada individu memperkenalkan diri sebagai ejen sebuah syarikat insurans pada 22 Januari lalu.

“Mangsa diperdaya kononnya terbabit dengan tuntutan insurans palsu dan penggubahan wang haram.

“Suspek mengarahkan mangsa membuka dua akaun bank baharu dan memindahkan semua wang simpanan ke dalam akaun itu untuk tujuan siasatan.

“Mangsa yang bimbang dengan hukuman berat bakal dihadapi mengikut arahan suspek dan memindahkan wang simpanan Tabung Haji, amanah saham dan simpanan lain ke dua akaun baharu dibukanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis sambutan Aidilfitri polis Pahang di Kuantan, hari ini.

Yahaya berkata, suspek mengarahkan mangsa memberikan maklumat perbankan bersama gambar kad bank dan kata laluan.

Katanya, mangsa hanya menyedari ditipu selepas mendapati wang dalam dua akaun itu sudah lesap.

“Mangsa cuba menghubungi suspek namun gagal dan dia membuat laporan polis di sebuah balai polis di bandar raya ini semalam,” katanya.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – Malaysiapost

Kredit Foto : Selangorkini

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights