PRN: Calon PN guna logo PAS di Kelantan, Terengganu

PRN: Calon PN guna logo PAS di Kelantan, Terengganu

CALON Perikatan Nasional (PN) yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang di Kelantan dan Terengganu akan mengunakan logo PAS.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata bagi empat lagi negeri iaitu Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah calon terbabit akan mengunakan logo PN.

Beliau berkata, setakat ini pembahagian kerusi antara parti gabungan PN hampir 95 peratus selesai.

“(Penggunaan) logo pada PRN masih kekal. Di Kelantan, Terengganu kekal guna logo PAS, empat negeri lain, (calon) PN, guna logo PN.

“Boleh dikatakan 95 peratus sudah selesai, pembahagian kerusi parti komponen, terpulang kepada parti untuk tentukan calon-calonnya yang boleh menang.

“Nama calon yang bakal bertanding pula akan dicadangkan oleh pimpinan negeri Bersatu dan juga PAS sebelum jawatankuasa di peringkat Pusat membuat keputusan,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini hanya pengagihan beberapa kerusi di Selangor dan Negeri Sembilan belum dapat dimuktamadkan lagi.

“Formula pembahagian kerusi antara PAS dan Bersatu turut menggunakan formula sama yang digunakan pada Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) November lalu, calon PN di Kelantan dan Terengganu melakukan pendekatan sama iaitu menggunakan logo PAS. – Malaysiapost

Komen