PRN: Rundingan kerusi BN-PH hampir selesai – Zahid

BARISAN Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) hampir selesai memuktamadkan rundingan pembahagian kerusi untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan datang.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pembahagian kerusi dijangka dapat diselesaikan dalam waktu terdekat.

Beliau yang juga Presiden Umno berkata, isu pembahagian akan dimuktamadkan terlebih dahulu sebelum mengemukakan calon yang bertanding.

“Kita hampir memuktamadkan pembahagian kerusi terlebih dahulu dan selepas itu baru kita kemukakan (senarai) nama calon,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Riang Raya MPP Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Dewan Berlian, UiTM Puncak Alam, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid mengajak mahasiswa dan mahasiswi UiTM untuk bersama dengan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, Anwar tentunya lebih memahami kehendak kekurangan dan keperluan, selain kehendak mereka kerana beliau juga pernah bergelar penuntut universiti.

Katanya, Kerajaan Perpaduan bukan seperti kerajaan terdahulu yang semua betul dan semua tahu sehingga mengetepikan setiap pandangan serta cadangan daripada mahasiswa.

“Zaman kerajaan betul semua, tahu semua telah berlalu. Kerajaan hari ini bawah pimpinan Anwar yang disokong oleh sokong, rakan Kabinet dan barisan kepimpinan parti sangat terbuka dengan pemikiran anak muda.

“Kita tahu Anwar mempunyai idealisma yang tinggi kerana beliau juga berada di zaman remaja, zaman muda dan kita tahu beliau tahu cita rasa kepimpinan pelajar,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights