Rayuan keputusan kes Jamal ditangguh 17 Ogos depan

Rayuan keputusan kes Jamal ditangguh 17 Ogos depan

MAHKAMAH Tinggi Shah Alam menetapkan 17 Ogos depan sebagai tarikh sebutan rayuan keputusan kes Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang dilepas dan dibebaskan berhubung kes memuat naik video kenyataan jelik dalam laman Facebooknya (FB), tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Aslam Zainuddin memutuskan tarikh itu berikutan pihak pendakwaan sebagai perayu belum menerima rekod berkaitan alasan penghakiman dan nota keterangan daripada Mahkamah Sesyen Ampang.

Memetik Kosmo, pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Datin Zuraini Abdul Razak memaklumkan pihaknya perlu meneliti rekod keputusan kes berkenaan bagi meneruskan rayuan tersebut.

“Kes (rayuan) ini masih di peringkat sebutan dan rekod tersebut belum lagi diterima setakat ini.

“Ia antaranya melibatkan nota keterangan mengenai keputusan kes itu daripada mahkamah rendah (Mahkamah Sesyen Ampang),” katanya.

Sementara itu, peguam Datuk Mohd. Imran Tamrin yang mewakili Jamal berkata, pihaknya turut belum menerima sebarang dokumen berkaitan setakat ini.

“Kes-kes (sebutan) sebelum ini ditangguhkan kerana kami tidak terima dokumen tersebut,” katanya.

Pada 10 Ogos tahun lalu, Jamal dilepas dan dibebaskan Mahkamah Sesyen Ampang atas dua pertuduhan memuat naik video kenyataan jelik dalam laman Facebook.

Hakim Wan Mohd. Norisham Wan Yaakob memutuskan demikian selepas mendapati  pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Jamal.

Mengikut dua pertuduhan itu, Jamal didakwa secara sedar memuat naik dua video kenyataan jelik sifatnya dengan niat menyakiti hati orang lain yang kemudian dilihat pada 20 Ogos 2020 jam 12 tengah hari di Taman Dagang Avenue.

Kesalahan itu dilakukan menerusi perkhidmatan aplikasi FB menggunakan Profil Datuk Sri Jamal Yunos di pautan www. facebook.com/watch/live masing-masing jam 10 pagi dan 3 petang, 19 Ogos tahun sama. – Malaysiapost

Komen