AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan berjaya menumpaskan cubaan seludup rokok di Tanjung Sepat, Selangor awal pagi Isnin lalu dan merampas rokok kretek bernilai RM2.95 juta.
Maritim Malaysia dalam satu kenyataan, memaklumkan kegiatan penyeludupan itu dikesan hasil maklumat risikan dan bantuan Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA).
“Sistem berkenaan berjaya mengesan satu kontek curiga di laluan ‘Traffic Separation Scheme’ (TSS) di syaki menuju ke Tanjung Sepat, Selangor pada jam lebih kurang 11.30 malam 14 Mei lalu.

“Aset Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan Op Murni/Op Tiris telah diatur gerak ke lokasi pengesanan sejurus menerima maklumat tersebut,” menurut kenyataan itu.
Menurutnya, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, bot suspek memecut laju menuju ke kawasan bakau seterusnya berjaya meloloskan diri dalam hutan bakau.
“Keadaan cuaca yang gelap dan berlumpur menyukarkan pasukan operasi untuk mengesan suspek.
“Bot pancung tanpa tekong dan awak-awak telah ditahan di kedudukan 0.07 batu nautika barat daya Kampung Batu Laut, Tanjung Sepat, Selangor pada jam lebih kurang 1.30 pagi Isnin lalu.
“Pemeriksaan ke atas bot pancung tanpa nombor pendaftaran yang berwarna kelabu, menggunakan enam enjin 200 kuasa kuda jenama Yamaha dengan muatan disyaki rokok kretek,” katanya.

Menurutnya, bot dan muatan seterusnya dirampas serta akan disiasat mengikut Akta Kastam 1967.
“Kesemua rampasan dibawa ke Jeti Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan.
“Jumlah keseluruhan kesemua rampasan termasuk bot, enam enjin, 4.27 juta batang rokok kretek pelbagai jenama dianggarkan bernilai lebih kurang RM3.15 juta,” katanya. – Malaysiapost