DATUK Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga pengasas dan bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Prof Dr Razali Nawawi yang meninggal dunia hari ini.
Perdana Menteri menyifatkan Allahyarham sebagai seorang penjana dan pendiri ABIM yang gigih bersama-samanya serta rakan lain, selain sebagai antara guru dalam perjuangan yang penuh liku.
“Amat menyedihkan tatkala Ustaz Dr. Razali Nawawi yang kami kasihi telah meninggalkan dunia ini.
“Saya sempat menziarahi beliau minggu lalu yang sedang uzur. Semoga Allah merahmati rohnya dan memaafkan semua kesalahannya.
“Mendoakan keluarga dan insan tersayang yang ditinggalkan tabah dan dikurniakan kekuatan oleh Allah SWT. Innalillahi wainnailaihirajiun,” ucapnya dalam satu hantaran di Facebook.
Terdahulu berita sedih mengenai pemergian itu dikongsi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar menerusi hantaran di Facebooknya.
Allahyarham, 79, juga adalah bekas Dekan Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Allahyarham kembali ke Rahmatullah pada jam 6.45 pagi di Hospital Pakar An-Nur, Bandar Baru Bangi dan urusan jenazah akan dilaksanakan di Masjid Al-Umm, Seksyen 1, Bandar Baru Bangi yang mana solat jenazah dijangka pada jam 10 pagi.
Baru-baru ini, Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi masing-masing menziarahi Allahyarham ketika beliau terlantar sakit di hospital.
Allahyarham menjadi Presiden ABIM pertama pada 1972 dan memperkenalkan sistem usrah sebelum diambil alih oleh Anwar sebagai Presiden ABIM yang kedua pada 1974. – Malaysiapost