Bekas pemimpin sertai pembangkang tidak gugat kekuatan Umno

UMNO tidak akan tergugat dengan tindakan beberapa bekas pemimpin dan ahli parti itu menyertai pembangkang menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan datang.

Keyakinan itu disuarakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan yang berpandangan, mereka yang telah dipecat atau digantung keahlian boleh memilih apa juga parti namun yang masih menjadi ahli Umno dinasihatkan tidak menjadi seperti ‘kacang lupakan kulit’.

Beliau berkata, ketika ini tersebar berita ada dalam kalangan bekas pemimpin Umno yang pernah menjawat jawatan Menteri atau Timbalan Menteri memilih untuk menyertai pembangkang bagi meneruskan karier politik masing-masing.

“Mereka ini mendapat jawatan menteri atas tiket Barisan Nasional (BN) dan Umno, nampak hebat dari segi imej tetapi apabila tidak tercalon mengambil keputusan menentang parti.

“Jangan disebabkan tidak tercalon, maka hendak tinggal Umno, saya harap rakan-rakan yang berhasrat meninggalkan parti tidak melakukannya,” katanya.

Semalam media melaporkan, bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa dilaporkan antara lebih 10 bekas pimpinan Umno yang sudah mengisi borang permohonan menganggotai PAS.

Timbalan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pula menunjukkan minat untuk menyertai Bersatu. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights