Jambatan Bagan Datuk jimatkan perjalanan dari 1 jam jadi 15 minit sahaja

PEMBINAAN Jambatan Bagan Datuk di daerah Hilir Perak yang menghubungkan kawasan Parlimen Bagan Datuk dengan Parlimen Pasir Salak kini sudah siap dan akan dibuka kepada orang ramai tidak lama lagi.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata pembukaan jambatan itu tentunya bakal memanfaatkan ribuan pengguna jalan raya di daerah berkenaan.

Beliau berkata, pembinaan jambatan itu dimulakan pada 2017 kini sudah pun lengkap dan hanya menunggu masa untuk dibuka kepada orang awam dalam masa terdekat.

“Jambatan ini yang menyeberangi Sungai Perak dengan panjang jambatan dianggarkan 1.5 kilometer (km) dan menghubungkan dua kawasan Parlimen iaitu Parlimen Bagan Datuk dan Parlimen Pasir Salak.

“Ia dapat memendekkan perjalanan ke pekan-pekan kecil dari kawasan sekitar Pekan Bagan Datuk, Selekoh, Sungai Sumun dan kampung-kampung lain berdekatan iaitu Kampung Kayan, Pekan Seri Iskandar, Bota, Parit, Changkat Lada, Perak Tengah, Sitiawan, Manjung dan Lumut.

“Sebelum ini, jarak perjalanan menggunakan Laluan FT069 dan FT005 akan mengambil masa lebih 1 jam dan dengan jarak perjalanan melebihi 50km. Dengan adanya Jambatan Bagan Datuk ini, perjalanan hanya mengambil masa kurang 15 minit sahaja,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau turut berkongsi beberapa gambar ketika meninjau perkembangan pembinaan jambatan berkenaan.

Nanta percaya, kesan limpah pembinaan jambatan itu juga akan membantu merancakkan aktiviti dan pertumbuhan ekonomi kawasan setempat yang disokong dengan rangkaian hubungan, aksesibiliti dan mobiliti.

“Jambatan ini juga bakal memanfaatkan lebih 70,000 penduduk sekitar termasuk anak-anak kita yang merupakan pelajar di beberapa institusi pendidikan berdekatan seperti Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Sekolah Asrama Penuh Bagan Datuk (SABDA) dan juga Politeknik Bagan Datuk.

“Syabas saya ucapkan kepada semua pihak terlibat, terutamanya Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, yang telah berusaha keras dan bertungkus lumus bagi memastikan kejayaan pembinaan jambatan ini.

“Tidak dilupakan pasukan Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya di atas kesungguhan dan kecekalan dalam memastikan pembinaan jambatan ini dapat disempurnakan. Semoga usaha dan kerja keras kita dapat dimanfaatkan oleh semua rakyat Malaysia Madani,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights