PERKONGSIAN Tan Sri Annuar Musa di media sosial yang mengenakan pakaian serba hijau, mendapat perhatian netizen.
Ramai yang melontarkan komen bahawa bekas Ketua Umno Bahagian Ketereh itu seakan memberi bayangan beliau akan menyertai PAS dalam hala tuju politiknya.
Secara kebetulan, malam tadi Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilapor berkata Annuar antara lebih 10 bekas pemimpin Umno sudah mengisi borang permohonan menyertai PAS.
Menerusi hantaran di Facebooknya semalam, Annuar menulis semoga hari ini menjadi permulaan kepada hari hari yang lebih baik buat semua.
“Kehidupan adalah sebuah perjalanan. Ia tetap berliku namun mereka yg tabah dan sabar akan jadikan setiap langkah sebagai dorongan kearah kecemerlangan dan kejayaan, InsyaAllah,” katanya.
Beliau memuatnaik dua keeping gambar mengenakan pakaian serba hijau berjenama BOSS.
Meninjau di ruangan komen, Raina Azlina menulis: “Baju Tan Sri sudah cukup menggambarkan kekuatan PAS dan PN bertiup kecang, bertambah kekuatan untuk tumbangkan pemusnah negara.”
Ahmad Syukri pula meninggalkan komen: “Jangan sembunyi lagi Tan Sri, dah terang lagi bersuluh hijau PAS pilihan di hati, ayah Tan Sri.”
Semalam Takiyuddin memaklumkan, pengumuman rasmi mengenai penyertaan Annuar yang juga bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) bersama bekas pemimpin Umno lain ke dalam PAS, akan dibuat hujung bulan ini.
Pada 1 Mei lalu, Takiyuddin mengesahkan Annuar sudah memaklumkan hasrat untuk menyertai PAS, menyusul selepas bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tan Sri Noh Omar mengesahkan akan bertanding pilihan raya negeri (PRN) di Selangor di bawah tiket PN. – Malaysiapost