Kalimah Allah: Jemaah Menteri perkemas dasar, elak pertikaian di mahkamah – PM
BEBERAPA usul akan diketengahkan Jemaah Menteri kepada Majlis Raja-Raja bagi mengukuhkan dasar berhubung penggunaan kalimah Allah sekali gus mengelak sebarang isu timbul membabitkan pertikaian di mahkamah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu penggunaan kalimah Allah sudah diputuskan oleh Majlis Raja-Raja Melayu dan kerajaan sejak 1986.
“Kita bergelut lagi dengan isu kalimah Allah, tiada perbezaan, keputusan kerajaan dan Majlis Raja-Raja Melayu sejak 1986. Walaupun ada pandangan berbeza tetapi keputusannya bahawa kalimah Allah itu adalah digunakan dalam masyarakat Islam dan juga kitab-kitab Islam, tapi untuk Sabah dan Sarawak diputuskan ia membolehkan.
“Saya telah menghubungi Yang di-Pertuan Agong, saya maklumkan jemaah menteri buat keputusan dan tidak ubah tetapi mahu perkemaskan beberapa isu supaya tidak timbul pertikaian di mahkamah dan sebagainya.
“Kami akan usulkan beberapa cadangan memperkemas keputusan itu dan kami akan bawa untuk pertimbangan dan perkenan Raja-Raja Melayu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Dato’ Haji Abu Hassan Haji Sail (Semadah) di Pedas, hari ini.
Isnin lalu, kerajaan mengesahkan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi memutuskan penganut Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mereka. – Malaysiapost