Kalimah Allah: Kenyataan Hamzah mengelirukan, dangkal dan lemah

KENYATAAN Datuk Seri Hamzah Zainudin kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan cuai dalam isu penggunaan kalimah Allah adalah mengelirukan, dangkal dan lemah.

Sekretariat Majlis Presiden Pakatan Harapan, Syed Badli Shah Syed Osman, berkata sebagai bekas Menteri Dalam Negeri, Hamzah seperti tidak faham dan tidak hadam bahawa ia hanyalah isu teknikal semata-mata yang langsung tidak menyentuh sensitiviti kesucian agama Islam.

Sehubungan itu beliau mempersoal adakah Hamzah sengaja menimbulkan isu tersebut dengan hujah sangat lemah agar rakyat termakan hasutan supaya membenci kerajaan.

“Penjelasan lengkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution dan pendirian kerajaan adalah jelas dan tuntas.

“Tetapi Hamzah sengaja mengeluarkan kenyataan dengan hujah lemah seolah-olah beliau tidak mengerti dan tidak memahami intipati isu ini.

“Justeru saya ingin menasihati Hamzah supaya berhenti membuat kenyataan yang mengelirukan. Fokus bantu rakyat dan negara. Bukan cuba memecah belahkan perpaduan rakyat dengan hasutan yang tidak menguntungkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Baru-baru ini Hamzah yang juga Ketua Pembangkang berkata keputusan kerajaan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian dalam penerbitan bahan agama mereka adalah salah dan tersasar sama sekali.

Hamzah berkata keputusan tersebut membuktikan kerajaan pimpinan Anwar tidak sensitif terhadap isu kalimah Allah, sedangkan perkara itu boleh menggugat keharmonian masyarakat berbilang bangsa dan agama di Malaysia.

Beliau berkata, sebagai bekas Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab secara langsung dalam kes Jill Ireland Binti Lawrence Bill lawan menteri bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan, merasa teramat kesal, terkilan dan kecewa dengan keputusan kerajaan itu. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights