Kenyataan tular gula putih naik harga tidak benar – Salahuddin

MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub menasihati orang ramai agar tidak keliru dengan kenyataan tular di media sosial berkenaan kenaikan harga gula putih.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata gula putih bertapis masih mengikut harga kawalan runcit semasa iaitu RM2.85 bagi gula kasar dan gula halus pula RM2.95 bagi setiap 1 kilogram (kg).

Beliau berkata, KPDN sentiasa cakna dengan isu yang dibangkitkan berhubung pengenalan dan penjualan gula super atau gula putih premium iaitu bungkusan hijau di pasaran seperti yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Beliau berkata, kedua-dua syarikat MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) dan CSR Sdn Bhd telah menyatakan bahawa gula gred tersebut belum dikeluarkan dan dipasarkan di Malaysia.

“Perlu ditegaskan bahawa sebarang pengenalan gula baharu di pasaran perlu mendapat kelulusan daripada KPDN terlebih dahulu.

“Ini kerana gula ialah barangan kawalan berjadual sepertimana yang telah diperuntukkan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata, pelaksanaan Ops Manis bermula 3 hingga 17 Mei lalu menampakkan perkembangan yang amat positif.

“Ini terbukti apabila negeri-negeri yang mengalami gangguan bekalan gula telah pulih hampir 100 peratus,” katanya.

Awal bulan lalu, Salahuddin berkata, pihaknya belum membuat apa-apa keputusan berhubung kenaikan harga gula setakat ini.

Katanya, KPDN berharap rakyat masih dapat membeli bekalan bahan mentah itu dengan harga yang ditetapkan. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights