PRESIDEN PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan gerak-geri Kerajaan Perpaduan laksana lalang yang mengikut tiupan angin.
Ini kerana katanya, konsep perpaduannya adalah meraikan semua pihak tanpa sempadan agama, ideologi dan moral atau fitrah manusia asalkan mendapat kehendak yang difikirkan majoriti kerusi.
Katanya, ia juga mengheret rakyat apabila berpegang kepada falsafah Pak Pandir yang menyeberangi anak sungai dengan meniti kayu reput yang dilalui oleh semut yang berjuta ramainya, atau kaedah politik ciptaan Barat yang berpegang kepada matlamat menghalalkan cara.
“Pakatan tersebut didominasi oleh DAP yang nyata ideologinya bercanggah dengan Islam, bahkan kenyataannya jelas menunjukkan mereka menentang Islam serta kepentingan Melayu Islam dan Bumiputera. Malah, pakatan itu disertai oleh parti-parti yang pragmatik tanpa ideologi.
“Termasuk juga kalangan yang tidak bersih kerana telah dihukum kesalahannya dan masih menanti keputusan mahkamah yang diusahakan untuk digugur atau dilepaskan kerana pendakwaan kes mahkamahnya dilakukan secara terpilih.
“Begitu juga, kalangan mereka yang sedang menunggu dan yang mahu menyelamatkan diri kerana kesalahannya atau oportunis daripada semua pihak,” katanya menerusi tulisan Minda Presiden PAS hari ini.
Abdul Hadi berkata, terkini sekali lagi negara digemparkan dengan isu kalimah Allah yang sudah ada keputusan terdahulu oleh pihak hal ehwal agama di negeri masing-masing dan Jabatan Perdana Menteri.
“Tanpa mereka pedulikan terhadap sensitiviti umat Islam berpandukan agamanya daripada ajaran yang dapat menyelesaikan masalah dan menjaga konsep kebebasan beragama mengikut sempadan.
“Hakikatnya, Islam ialah agama bagi Persekutuan dan terletak di bawah bidang kuasa negeri di bawah peranan raja-raja,” katanya.
Ahli Parlimen Marang itu menambah, hakikatnya sudah ada keputusan terdahulu, hanya kerajaan PH yang serba salah kerana pendiriannya yang bergoyang ditiup angin.
“Jika dilihat kembali, semua kenyataan para pemimpin serta jurubicaranya paling lantang sebelum PRU15 dan semasa kempen sebelum jadi kerajaan, betapa kerasnya ucapan mereka terhadap golongan dinamakan penyangak, perasuah dan jenama-jenama yang lain.
“Tiba-tiba, mereka bersekongkol bagi menyempurnakan kerajaannya dengan mereka yang telah dinyatakan sifat-sifat sedemikian.
“Bahkan, diubah suaranya dengan melemparkan tuduhan semberono terhadap mereka yang terpilih menjadi sasaran dalam kalangan parti-parti lawannya dan tokoh-tokoh yang menolak kerajaannya, serta mereka yang tidak menyertai pakatannya,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, kadang kala apa yang dilakukan mereka kembali ke zaman penjajah apabila menggunakan taktik yang pernah digunakan dengan berlindung di belakang raja-raja yang tidak memiliki kuasa politik yang berdaulat.
Sebaliknya, katanya, penjajah dahulu pula menuduh pejuang-pejuang kemerdekaan yang menentang penjajah sebagai penderhaka kepada raja-raja. – Malaysiapost