Lelaki maut ditembak berhampiran balai polis
SEORANG lelaki mati akibat ditembak di bahagian kepala dalam kejadian berhampiran Balai Polis Sungai Jarom, Kuala Langat, lewat malam tadi
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian kira-kira jam 11.30 malam.
Menurutnya, kejadian itu disedari anggota sukarelawan polis yang sedang bertugas di kawasan Balai Polis Sungai Jarom mendengar beberapa letupan kuat berhampiran Balai Polis Sungai Jarom dan terus menuju ke kawasan kejadian.
“Anggota sukarelawan polis itu melihat seorang lelaki warga tempatan sedang terbaring di bahu jalan dalam keadaan berlumuran dadah.
“Pihak klinik kesihatan Telok Panglima Garang yang hadir, mengesahkan mangsa maut di tempat kejadian akibat pendarahan di kepala dan terdapat empat kesan tembakan di kepala mangsa.
“Unit forensik turut menjumpai lima kelongsong peluru di sekitar tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, semakan mendapati lelaki berusia 39 tahun itu memiliki 13 rekod jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.
Menurutnya, polis kini sedang mengesan suspek dan menasihati orang awam tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke balai polis berdekatan bagi menyalurkan maklumat dan menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-31872222,” katanya. – Malaysiapost