TAN Sri Muhyiddin Yassin didakwa cuba cipta naratif palsu bahawa Islam dan Melayu diancam oleh DAP, kata Lim Guan Eng.
Ia susulan dakwaan Muhyiddin bahawa semasa beliau menjadi Menteri Dalam Negeri ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH), ada menteri DAP meminta untuk menyelesaikan kes Jill Ireland di luar mahkamah.
Hakikatnya, kata Guan Eng, tiada seorang pun daripada enam menteri DAP semasa Muhyiddin sebagai Menteri Dalam Negeri dari 2018-2020, telah membuat permintaan sedemikian kepadanya.
“Muhyiddin setakat ini gagal menjawab cabaran saya untuk menamakan Menteri DAP berkenaan dan memberi bukti bahawa menteri DAP itu minta kes tersebut diselesaikan di luar mahkamah.
“Ia membuktikan dengan jelas bahawa Muhyiddin berbohong secara terbuka,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Baru-baru ini, Muhyiddin mendakwa ada menteri daripada DAP pernah meminta supaya kes kalimah Allah membabitkan Jill Ireland diselesaikan di luar mahkamah.
Menurut Muhyiddin, kejadian itu berlaku sewaktu memegang portfolio sebagai Menteri Dalam Negeri dalam kerajaan PH pada tahun 2020.
Mengulas lanjut, Guan Eng berkata semua menteri DAP berdisiplin, sibuk dan fokus kepada portfolio masing-masing dan tidak akan mencampuri urusan di luar bidang kuasa mereka.
Lebih penting lagi, katanya, keputusan dan kuasa untuk meneruskan atau tidak kes Jill Ireland terletak pada Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas.
“Tommy sentiasa mengekalkan kewajipan berkanunnya untuk bertindak secara bebas dan lebih berkemampuan untuk memutuskan kes sedemikian sendiri tanpa arahan daripada mana-mana pihak.
“Muhyiddin membuat cerita untuk melaungkan mantera “ini semua salah DAP” untuk memenangi undi umat Islam dalam pilihan raya negeri akan datang di enam negeri.
“Dengan terus mengada-adakan kepalsuan dan bergantung kepada retorik perkauman dan ekstremis, Muhyiddin telah menunjukkan dirinya sebagai pemimpin tidak bertanggungjawab dan tidak layak untuk jawatan tinggi Perdana Menteri,” katanya.
Tambah Guan Eng, ini bukan kali pertama Muhyiddin membuat dakwaan palsu terhadap pemimpin DAP tanpa sebarang bukti.
Baru-baru ini, katanya, Muhyiddin cuba mengalih perhatian daripada perbicaraan rasuahnya dengan mendakwa beliau telah membatalkan status pengecualian cukai Yayasan Albukhary semasa sberkhidmat sebagai Menteri Kewangan dari 2018-2020.
“Dakwaan Muhyiddin adalah palsu. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara terbuka menafikan dakwaan Muhyiddin terhadap saya di Parlimen sebagai palsu, dan menegaskan menteri mahupun pegawai Kementerian Kewangan tidak mengeluarkan sebarang pembatalan status pengecualian cukai Yayasan Albukhary.
“Walaupun tidak dapat menunjukkan bukti untuk menyokong dakwaannya, Muhyiddin enggan menarik balik dan memohon maaf atas dakwaan palsunya.
“Saya kemudiannya menyaman Muhyiddin kerana memfitnah,” katanya lagi. – Malaysiapost