Nazri serah watikah pelantikan kepada Joe Biden

Nazri serah watikah pelantikan kepada Joe Biden

DATUK Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz telah menyerahkan watikah pelantikan beliau sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), kepada Presiden negara itu, Joe Biden di White House, hari ini.

Ketika sesi penyerahan itu, Mohamed Nazri menyatakan komitmen Malaysia dalam mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan AS yang telah lama terjalin.

Dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi Kedutaan Besar Malaysia di Washington DC, memaklumkan pada majlis itu, Joe Biden turut mengalu-alukan kedatangan Datin Seri Haflin Nazri Aziz, pasangan Duta Besar Malaysia ke AS.

“Datuk Seri Nazri kini berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke-17 ke AS. Semasa majlis itu, beliau bertukar-tukar ucapan mesra dengan Presiden Biden, termasuk ungkapan komitmen berterusan kedua-dua pihak untuk mengukuhkan lagi Perkongsian Komprehensif Malaysia – AS.

“Hubungan diplomatik kedua-dua negara telah menyaksikan kemajuan yang luar biasa sejak penubuhannya pada tahun 1957.

“Sejak itu, hubungan yang kukuh dan besar telah dicerminkan dalam pelbagai kerjasama, iaitu perdagangan, pelaburan, pertahanan dan hubungan rakyat dengan rakyat,” menurut kenyataan itu.

Pada 2022, AS disenaraikan sebagai rakan dagangan ketiga tertinggi Malaysia, dan destinasi eksport ketiga terbesar serta sumber import keempat terbesar Malaysia.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada Februari lalu berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada Nazri sebagai Duta Besar Malaysia ke AS.

Nazri yang juga graduan Lincoln’s Inn di United Kingdom (UK) dipilih kerana pengalaman luasnya sebagai anggota pentadbiran negara.

Bekas Ahli Parlimen Padang Rengas itu berpengalaman mengetuai Kementerian Pembangunan Usahawan dari 1999 hingga 2004, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) (2004 hingga 2013) serta Menteri Pelancongan dan Kebudayaan (2013 hingga 2018). – Malaysiapost

Komen