Negeri Sembilan negeri kedua namakan jalan sempena nama pemimpin DAP – Guan Eng

PENGERUSI Kebangsaan DAP Lim Guan Eng, mengucapkan tahniah kepada Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook dan Exco Negeri Sembilan, Teo Kok Seong kerana berjaya menamakan satu jalan di negeri itu sempena nama pemimpin DAP.

Beliau yang turut hadir pada majlis perasmian penukaran nama Jalan Temiang kepada Jalan Dr Chen Man Hin, di Seremban, semalam, berkata Negeri Sembilan adalah negeri kedua menamakan jalan sempena nama pemimpin parti berkenaan.

“Tahniah kepada Setiausaha Agung Anthony Loke dan Teo Kok Seong yang menjayakan usaha ini.

“Keluarga Dr Chen pastinya berbesar hati. Negeri Sembilan dibawah saudara Anthony Loke menyertai Pulau Pinang dalam menjadi dua negeri yang menamakan jalan sempena pimpinan kita,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Dalam satu majlis semalam, Kerajaan Negeri Sembilan menukar nama Jalan Temiang kepada Jalan Dr Chen Man Hin, bekas Ahli Parlimen Seremban, sebagai tanda penghormatan kepada jasa mendiang.

Majlis berkenaan turut dihadiri veteran DAP Lim Kit Siang dan ahli keluarga mendiang.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang merasmikan penukaran nama jalan itu menyifatkan inisiatif ia sebagai langkah baik mengabadikan jasa tokoh tersebut.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, ia adalah satu pengiktirafan besar kepada perjuangan dan sumbangan Dr Chen serta mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan negeri. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights