Pemimpin PKR pertahan filem Anwar, saran Khairuddin buat filem Tun M

PENYOKONG Tun Dr Mahathir Mohamad boleh membuat filem yang memuji bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu jika menyifatkan filem biopik ‘Anwar: The Untold Story’ begitu meloyakan. 

Ahli Parlimen Pasir Gudang  dari PKR, Hassan Abdul Karim berkata demikian membidas Datuk Khairuddin Abu Hassan yang menghina filem ‘Anwar: The Untold Story’ kerana filem itu dihasilkan berdasarkan fakta sejarah yang betul. 

“Khairuddin Abu Hassan boleh buat filem untuk Tun Dr Mahathir Mohamad. Pujilah Tun M setinggi langit. Tiada siapa yang bantah.

“Carilah pelakon-pelakon Malaysia, sutradara Malaysia. Penerbit Malaysia. Semuanya Malaysia. Buatlah untuk Tun Mahathir. Tak ada masalah.

“Tetapi kenapa nak kata film Anwar-The Untold Story itu meloyakan?

“Jadi Khairuddin Abu Hassan jangan menghina hasil kerja seni film Anwar- the Untold Story tersebut.Filem itu berdasarkan sejarah yang benar,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Mengulas lanjut, Hassan berkata, kisah yang dipaparkan dalam filem tersebut adalah kisah benar kerana beliau sendiri terbabit dalam gerakan reformasi dan membela Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998.

“Cerita tentang Anwar Ibrahim dalam filem itu benar.Bukan direka-reka. Saya dah tonton film itu semalam 18 Mei 2023 di sebuah panggung wayang di Pasir Gudang.

“Saya tahu cerita dalam film itu benar kerana saya turut terlibat dalam gerakan reformasi menyokong bekas Timbalan Presiden Umno dan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipecat oleh Perdana Menteri Dr Mahathir pada September tahun 1998,” katanya. 

Hassan turut menegaskan, adegan Anwar dibelasah Ketua Polis Negara dalam filem itu adalah kisah benar yang memang diketahui umum. 

“Dalam lokap no.6 di Bukti Aman, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim Noor telah menyerang Anwar Ibrahim yang matanya ditutup sehingga cedera pada muka dan matanya.

“Fakta kejadian serangan Ketua Polis Negara ketika itu terhadap Anwar Ibrahim di dalam lokap Bukti Aman adalah benar.

“Kes itu telah dibicarakan di Mahkamah Jenayah Di Kuala Lumpur. Mahkamah mendapati Tan Sri Abdul Rahim Noor, Ketua Polis Negara bersalah kerana mencederakan Anwar Ibrahim.

“Kalau fakta yang saya sebut ini salah, saya jemput bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim Noor supaya saman saya di Mahkamah,” katanya. 

Justeru, Hassan mencabar Khairuddin untuk mengambil tindakan saman ke atasnya yang mempertahankan filem itu adalah berdasarkan kisah benar yang dilalui Anwar. 

“Yang memualkan dan meloyakan bukannya film itu tetapi peri lalu kebinatangan pihak berkuasa dan elit berkuasa ketika itu yang bertindak zalim terhadap Anwar Ibrahim.

“Kalau nak saman saya atau nak ambil tindakan Undang-undang ke atas saya kerana bercakap Perkara yang benar ini maka silakan. Saya tunggu di Mahkamah.

“Kami aktivis reformasi zaman itu hampir 25 tahun yang lalu masih bernyawa dan menjadi saksi Hidup yang mengetahui kezaliman yang dilakukan oleh regim Perdana Menteri yang keempat waktu itu,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights