PENGARAH Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Lt Kol (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub dilaporkan meninggal dunia ketika dalam misi menawan Everest menerusi Malaysia Everest 2023 (ME2023), hari ini.
APM Negeri Kedah menerusi hantaran Facebook malam ini, memaklumkan mengenai pemergian Allahyarham Awang Askandar yang disahkan Chef De Mission misi pendakian Everest, Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor.
Awang Askandar bersama tiga pendaki lain bertolak ke Nepal pada 2 April lalu dan dikatakan tiba di Kem 3 pada ketinggian 7,300 meter pada 16 Mei dan dijadualkan bergerak ke Kem 4 pada ketinggian 7,925 meter pada semalam.
Sementara itu, Ketua Misi ME 2023, Azim Afif Ishak, 35, berkata, Allahyarham dikatakan terjatuh ketika berada pada ketinggian 8,000 meter dari aras laut dan hanya memerlukan pendakian 20 minit untuk sampai ke puncak.
Katanya, selepas kejadian Allahyarham dibawa ke Kem 4 dengan bantuan malim gunung untuk diberikan rawatan lanjut, sebelum disahkan meninggal dunia pagi tadi.
“Selepas terjatuh, Allahyarham masih dalam keadaan sedar sebelum dibawa turun manakala Hawari meneruskan pendakian sehingga ke puncak.
“Jenazah akan dibawa turun sehingga ke Kem 2 esok untuk diterbangkan ke hospital dengan helikopter. Namun ia bergantung kepada keadaan cuaca,” katanya.
Azim berkata kejadian itu sudah dimaklumkan kepada Kedutaan Malaysia di Nepal dan selepas dibawa turun jenazah akan dihantar ke hospital untuk bedah siasat.
“Keluarga Allahyarham juga sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu. Pihak kami akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Nepal bagi menguruskan jenazah,” katanya.
Mengikut laporan media tempatan Nepal, Allahyarham adalah warga asing ke sembilan meninggal dunia bagi musim pendakian tahun ini.
Misi ME 2023 ini adalah percubaan kedua Allahyarham selepas tertangguh tahun lalu disebabkan faktor cuaca.
Azim berkata, misi pendakian itu dipecahkan kepada dua pasukan dimana Allahyarham bersama Hawari memulakan misi pertama manakala dia dan Tiong Ling Yang, 30, dalam kumpulan kedua.
Katanya, misi kumpulan kedua terpaksa ditangguhkan bagi menguruskan proses membawa keluar jenazah Awang Askandar.
Sementara itu, Chef De Mission ME2023, Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berharap seluruh ahli keluarga bersabar menerima berita sedih itu.
Untuk rekod, sepanjang musim bunga tahun ini, sembilan nyawa direkodkan menjadi korban dalam cubaan menakluk puncak setinggi 8,849 meter itu.
Dalam perkembangan lain, Pengarah Pioneer Adventure, Nivesh Karki berkata, Muhammad Hawari menjadi pendaki terbaharu negara yang berjaya menakluk puncak Everest, semalam.
“Muhammad Hawari Hashim, 33, berjaya tiba di puncak pada 3.30 petang semalam diiringi oleh sherpa, Chatur Man.
“Hawari berjaya dalam misinya membuktikan golongan kurang upaya juga mempunyai keazaman yang tinggi dan mampu mencapainya,” katanya.
Anak kelahiran Kepala Batas, itu adalah kakitangan Musium Negeri Pulau Pinang merupakan ayah kepada dua anak. – Malaysiapost