PENGUNDI Umno digesa memangkah calon DAP dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan Kedah tidak lagi lagi.
Ketua Umno Bahagian Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata ia demi mengukuhkan lagi Kerajaan Perpaduan.
Timbalan Menteri Kewangan itu berkata, apabila ahli Umno sudah berada dalam Kerajaan Perpaduan, maka mereka hendaklah mengikut disiplin parti.
“Disiplin parti itu memastikan arahan parti dituruti… memanglah undi itu rahsia tetapi gesaan saya ialah bukan (undi) atas nama parti atau DAP tetapi atas nama Kerajaan Perpaduan.
“Kerajaan Perpaduan ini titah Yang di-Pertuan Agong apabila Parlimen negara tergantung, jadi kita akur pada titah, setia pada titah Yang di-Pertuan Agong,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Beliau diminta mengulas sejauh mana kesudian pengundi Umno untuk mengundi DAP dalam PRN tidak lama lagi.
Ahmad yang juga bekas Setiausaha Agung Umno berkata, pengundi parti itu perlu meninggalkan sentimen yang ada kerana dinamika politik Malaysia begitu hebat.
“Kita melihat apa yang sudah berlaku itu, sudah berlaku… sekarang kita inginkan kestabilan sebagaimana saya sebut tadi.
“Calon yang bertanding bukan atas nama DAP atau PH saja tetapi secara keseluruhannya atas nama Kerajaan Perpaduan,” katanya. – Malaysiapost