Pulau Pinang bubar DUN minggu ketiga atau keempat bulan depan
PULAU Pinang akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada minggu ketiga atau keempat Jun ini, bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri tetap dengan perancangan awal seperti sebelum ini iaitu akan bubarkan DUN pada minggu terakhir bulan depan.
“Seperti ditetapkan oleh keenam-enam negeri, ada persetujuan untuk bubarkan DUN dalam lingkungan dua minggu terakhir Jun.
“Jadi daripada kenyataan-kenyataan yang kita baca, setiap negeri ada pertimbangan masing-masing sebab ada acara kerajaan dan sebagainya.
“Namun di Pulau Pinang, kita akan kekal dengan perancangan asal iaitu dua minggu yang terakhir Jun, sama ada minggu ketiga atau keempat. Itu adalah kepastian,” katanya memetik laporan Astro Awani.
PRN akan melibatkan enam negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu. – Malaysiapost