‘Saya tak akan mohon maaf’ – Hannah Yeoh
MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan beliau tidak akan memohon maaf atas keputusan mengenengahkan atlet muda pada Sukan SEA Kemboja 2023 sehingga kontinjen negara tidak berjaya menepati sasaran pingat.
Hannah berkata, beliau tetap menganggap ada perkara positif yang dicatatkan selepas berakhirnya Sukan SEA Kemboja terutama dengan penyertaan 63 peratus atlet muda.
“Saya sudah katakan daripada hari pertama, orang yang komen seperti itu tidak mengikuti sidang media kita sebelum kita menghantar kontinjen lagi. Kita sudah katakan, daripada hari pertama kita tahu, kita hilang semua pingat ini kerana sukan itu tidak dipertandingkan,” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Rangkuman Prestasi Kontinjen Malaysia Sukan Sea Kemboja di MSN, pagi tadi.
Seramai 427 daripada 674 atlet yang dibawa ke Phnom Penh ini adalah barisan pelapis muda negara dan mereka menjelmakan 18 pingat emas, 27 perak dan 66 gangsa.
Ini menunjukkan penyertaan atlet muda pada kali ini amat memberangsangkan bagi masa depan negara apatah lagi 62 peratus daripada jumlah kontinjen adalah atlet yang membuat penampilan kali pertama dengan berupaya menjelmakan 12 emas, 20 perak dan 46 gangsa.
“Kalau dinilai dari segi tak dapat 40 emas dan ranking negara pula, saya boleh katakan, kalau dapat 40 emas pun ranking (kedudukan pingat emas) tidak berubah.
“Kalau nak jawab, saya tak akan mohon maaf kerana membuat keputusan melaburkan (mengenengahkan barisan muda) atlet muda. Ini adalah keputusan terbaik untuk Malaysia,” katanya.
Malaysia menutup tirai temasya dwitahunan di Phnom Penh dengan membawa pulang 34 emas, 45 perak dan 96 gangsa untuk berada di tangga ketujuh keseluruhan sekali gus gagal mencapai sasaran diletakkan iaitu 40 emas.
Pencapaian itu adalah yang terburuk buat negara di Sukan SEA dan pungutan emas paling rendah dalam tempoh 20 tahun sejak di Hanoi, Vietnam 2003. – Malaysiapost