“Sejak bilakah apa yang disebut sebagai tender terbuka tiba-tiba menjadi tender terbuka terpilih ini?” – Ahmad Fadhli

“Sejak bilakah apa yang disebut sebagai tender terbuka tiba-tiba menjadi tender terbuka terpilih ini?” – Ahmad Fadhli

KETUA Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari menggesa pihak berwajib menjelaskan mengenai surat daripada Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan senarai syarikat-syarikat yang difikirkan mampu memenuhi kriteria dalam proses tender.

Menurutnya, surat berkenaan yang mempunyai cop sulit itu kini tular di media sosial dan Perdana Menteri yang sebelum ini lantang mengatakan tiada lagi tender terpilih, semuanya terbuka perlu menjelaskan isu berkenaan.

“Soalan saya, sejak bilakah apa yang disebut sebagai tender terbuka tiba-tiba menjadi tender terbuka terpilih ini?

“Kalau sekadar nak teruskan amalan kerajaan sebelum ini, apa maknanya PMX (Perdana Menteri ke-10) berdegar-degar menyebut bahawa tiada lagi tender terpilih, semuanya terbuka?

“Tidakkah tender terpilih dan terhad tanpa PreQ Terbuka terlebih dahulu ini akan membuka kepada amalan ‘pakat harga’ yang akan mendorong kepada pemilihan kontraktor tertentu sahaja?” soalnya di Facebook, hari ini.

Beliau berpandangan surat berkenaan walaupun sulit, tetapi tetap disebar atau ditularkan kerana mungkin ada pegawai kerajaan sendiri tidak bersetuju dengan perkara itu.

“Kena ingat, walaupun di cop sulit di atas surat yang sangat jelas maksudnya ini, pegawai-pegawai kerajaan sendiri sangat meluat dengan amalan luar kebiasaan seperti ini.

“Saya cadangkan juga, masukkan kes cakap tak serupa bikin ini ke dalam salah satu babak filem ‘Untold Story’ itu. Khabarnya pecah panggung,” sindirnya. – Malaysiapost

Komen