Seniman terkejut pusara Benjy dijaga rapi, bersih dan cantik
KUBUR pelakon Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy yang disemadikan di Medan, Indonesia dijaga rapi serta kelihatan bersih dan cantik.
Tambah mengejutkan, kubur yang lengkap dengan kepok dan batu nisan itu dibuat oleh penduduk tempatan yang meminati anak pelakon seniwati Azean Erdawaty itu.
Pengalaman menarik itu dikongsi Setiausaha Agung Seniman, Hafiz Nafiah yang telah menziarahi pusara Allahyarham, baru-baru ini.
“Tanggal 11 Mei 2023 bersamaan 20 Syawal 1444H saya Hafiz Nafiah Setiausaha Agung Seniman mewakili Seniman Malaysia mengadakan ziarah rasmi Seniman ke kubur Allahyarham Khaeryll Benjamin Ibrahim atau lebih popular dengan nama pentasnya Benjy.
“Alhamdulilah agak terkejut sangat bila tengok kubur dia sebab sangat cantik dan terjaga rapi dan siap ada kepok tu.
“Bila saya tanya orang yang jaga tu dia kata ada orang buatkan untuk dia. Allahuakbar hebat betul Benjy kata hati saya,” katanya kepada Malaysiapost, hari ini.
Benjy menghembuskan nafas yang terakhir pada 11 Julai 2021 di rumah sakit Royal Prima Medan setelah mengadu sesak nafas.
Ketika itu, Benjy sedang menjalani hukuman penjara 11 tahun lapan bulan di Penjara Tanjung Gusta Medan setelah ditahan di Lapangan Terbang Kuala Namu pada 19 April 2017.
“Memang niat nak kesana sejak dia meninggal dunia. Itu sebab masa dia meninggal kita dalam fasa Covid-19 jadi tak boleh pegi.
“Jadi dari situ dah pasang niat akan sampai ke kubur dia satu hari nanti dan kebetulan masih lagi dalam Syawal. Alhamdulilah Allah mudahkan urusan kami.
“Seniman mendoakan agar roh Arwahyarham dicucuri rahmat serta ditempatkan di kalangan orang-orang yang beramal soleh di syurga Allah.
“Seniman mengucapkan jutaan terima kasih kepada Pejabat Konsulat General Malaysia di Medan, Konsulat serta pegawai-pegawai Konsulat yang memudahkan urusan kami di Medan Indonesia untuk rangka ziarah rasmi Seniman ke kubur Allahyarham Khaeryll Benjamin Ibrahim,” katanya.
Dalam lawatan yang sama, Hafiz berkata, Seniman juga dijemput untuk ke Majlis Aidilfitri yang dianjurkan oleh Persatuan Pelajar Malaysia di Medan Indonesia serta Majlis Aidilfitri Pegawai Konsulat Malaysia di Medan.
“Seniman amat terharu dengan layanan yang diberikan dan mendoakan agar hubungan ini kekal terjalin rapi antara pihak Konsulat, Pelajar Malaysia dengan Seniman,” katanya. – Malaysiapost