SPRM buka kertas siasatan terhadap tokoh perniagaan, Menteri Kanan
SEORANG tokoh perniagaan bergelar Tan Sri dan seorang bekas menteri kanan sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berhubung penyelewengan dana negara bernilai lebih RM2.3 bilion.
Beberapa kertas siasatan dibuka di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Utusan Malaysia yang memetik sumber melaporkan, siasatan itu adalah kesinambungan dan tambahan daripada pendedahan dokumen sulit oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) berhubung transaksi yang disyaki berlaku di beberapa pusat kewangan luar pesisir.
Menurutnya, tumpuan siasatan adalah berhubung pembelian dan pemilikan saham di sebuah syarikat tersenarai oleh sebuah syarikat gergasi negara yang dikaitkan dengan bekas menteri kanan itu.
“Difahamkan juga transaksi pembelian dan pemilikan saham ini dipercayai menjadi punca kepada kemerosotan ekonomi negara serta kejatuhan mata wang ringgit pada hujung 1990-an dan telah diseleweng untuk kepentingan individu-individu terbabit untuk diselamatkan (bail out) daripada mengalami kerugian yang lebih teruk,” kata sumber itu.
Mengulas lanjut, sumber berkata, penyiasatan juga bertumpu kepada transaksi daripada hasil penjualan saham syarikat tersenarai tersebut.
Siasatan juga meliputi pemilikan aset berharga yang dikenal pasti SPRM yang dimiliki oleh ahli perniagaan dan bekas menteri kanan serta ahli keluarga mereka dianggarkan bernilai berbilion ringgit yang berada dalam dan di luar negara.
SPRM juga telah merakam keterangan 14 saksi dalam tempoh beberapa minggu lalu berhubung penyiasatan ini termasuk keterangan daripada tokoh perniagaan dan bekas menteri kanan tersebut berkaitan dengan dokumen sulit yang didedahkan oleh Pandora Papers.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.
Beliau berkata, siasatan tertumpu kepada Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berhubung kesalahan salah guna kuasa untuk mendapat suapan dan kesalahan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4 (1) AMLATFPUAA 2001. – Malaysiapost