DAP pula minta ahlinya undi Umno

SELEPAS ahli Umno diminta mengundi DAP, Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching, hari ini turut meminta ahli parti itu mengundi Umno pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Menurutnya, semua ahli parti perlu mengetepikan sebarang perbezaan yang mungkin wujud sebelum ini bagi memastikan kestabilan politik di peringkat pusat dan juga negeri.

“Sekarang kami dalam Kerajaan Perpaduan, jadi, semua parti politik kerajaan yang bertanding dalam PRN perlu menang untuk pastikan kestabilan kerajaan.

“DAP pasti mahu memenangi semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi, dan kami juga berharap rakan komponen seperti PKR, Amanah dan Umno turut menang di kawasan mereka,” katanya selepas program Larian Amal Putra IOI di Kulai, Johor, hari ini.

Semalam, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata, pengundi daripada parti itu perlu memilih calon Kerajaan Perpaduan pada PRN tanpa mengira daripada parti mana, termasuk DAP.

Nie Ching yang juga Naib Pengerusi DAP Johor berkata, sekiranya semua parti politik dalam Kerajaan Perpaduan boleh menang besar itu adalah satu petunjuk bahawa rakyat yakin dengan kemampuan dan pencapaian kerajaan hari ini.

Beliau menegaskan sokongan ahli dan penyokong DAP kepada calon-calon Umno pada PRN akan datang bagi mengelak kemenangan berpihak kepada pembangkang.

“Kita tidak akan serahkan usaha menarik pengundi kepada pihak lain. Kita akui sokongan masyarakat Melayu terhadap DAP sedikit kurang, namun itu tidak halang kita dekati masyarakat Melayu.

“Pendekatan kita kekal untuk mendekati pengundi berbilang kaum, buktinya adalah bahan publisiti yang dikeluarkan dibuat dalam pelbagai bahasa, iaitu bahasa kebangsaan, bahasa Cina dan juga Tamil,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights