SELEPAS dua kali berdepan kegagalan rumah tangga, pelakon Esma Daniel terbuka hati untuk kembali berkahwin dengan memilih Nuratira Mazlan,31, sebagai teman hidupnya.
Majlis pernikahan pasangan itu berlangsung di kediaman pengantin perempuan yang terletak di Kajang, hari ini.
Pelakon berusia 54 tahun itu berkata, dia tetap berasa gementar walaupun pernah mempunyai pengalaman dua kali berkahwin sebelum ini.
“Syukur semuanya berjalan lancar. Kami bertunang pada 22 Januari lalu dan pada awalnya rancang ‘ikat’ selama setahun sebelum nikah. Tetapi rasanya elok disegerakan apabila keluarga pun merestui hubungan kami.
“Saya sah bergelar suami dengan sekali lafaz. Walaupun dah ada pengalaman sebelum ini, rasa gementar tetap ada,” katanya seperti dipetik Mstar.
Menurut Esma, hatinya mula terbuka untuk kembali berumah tangga selepas merasakan Atira merupakan pasangan yang sesuai buatnya.
“Saya dah pernah dua kali gagal dalam rumah tangga. Jadi kali ini mestilah nak pastikan hubungan dengan isteri kekal hingga akhir hayat.
“Keputusan untuk kembali berkahwin bukan satu yang mudah. Saya tak mahu gagal lagi,” katanya.
Untuk rekod, Esma pernah berkahwin dengan aktres Sherie Merlis pada 1992 namun bercerai lima tahun selepas itu.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua cahaya mata.
Esma kemudian bertemu jodoh dengan Nitra Sari Omar pada 2002 dan dikurniakan enam cahaya mata, namun bercerai pada 2016. – Malaysiapost