Fadhlina ziarah keluarga Allahyarham Nik Aziz

Fadhlina ziarah keluarga Allahyarham Nik Aziz

MENTERI Pendidikan, Fadhlina Sidek hari ini meluangkan masa menziarahi keluarga bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di kediaman mereka di Pulau Melaka, Kelantan.

Beliau kemudian dibawa melawat Maahad Tahfiz Dan Pengajian Al-Quran Nikmatillah oleh anak bekas Mursyidul Am PAS itu, Nik Mohamad Abduh.

“Berkesempatan ziarah ke rumah Datin Tuan Sabariah (isteri Allahyarham Nik Aziz) di Pulau Melaka.

“Kemudian, anakanda beliau, Ustaz Nik Abduh membawa saya melawat Maahad Tahfiz Dan Pengajian Al-Quran Nikmatillah,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Fadhlina yang berada di Kelantan sempena Jerayawara Pendidikan Madani dan Majlis Sambutan Hari Raya Bersama-sama Menteri Pendidikan, turut memuat naik beberapa keping gambar sepanjang pertemuan itu dan lawatan ke maahad tahfiz berkenaan.

Menurut Fadhlina, beliau sempat beramah mesra bersama pelajar serta mendengar taklimat ringkas daripada pihak maahad.

“Usaha membangunkan sekolah rakyat yang dibina daripada sumbangan pelbagai pihak adalah usaha murni bagi memberikan pendidikan alternatif kepada ibu bapa dan pelajar, khususnya untuk yang cenderung dalam pengajian agama dan menghafaz al-Quran.

“Terima kasih saya ucapkan kepada pihak maahad yang menerima kunjungan saya dan memberikan kepada saya sedikit sebanyak input berkenaan sekolah-sekolah agama di Kelantan,” katanya.

Pada 12 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika lawatannya ke Kelantan mengadakan pertemuan dengan dua anak Allahyarham Nik Abdul Aziz.

Perdana Menteri ditemani isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bertemu Nik Omar dan adiknya, Nik Abduh. – Malaysiapost

Komen