PENGGUNA dinasihatkan membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) jika merasakan wujud unsur penipuan dalam penjualan tiket konsert Coldplay.
Menerusi kenyataan hari ini, KPDN berkata aduan rasmi perlu bagi membolehkan kementerian tersebut menjalankan siasatan di bawah mana-mana akta dikuatkuasakan KPDN atau lain-lain kementerian.
Katanya, aduan rasmi boleh dibuat dengan mengemukakan bukti-bukti yang berkaitan.
Dalam pada itu, KPDN menasihatkan pengguna agar membuat pembelian bijak dengan mendapatkan tiket daripada saluran jualan rasmi dan sah.
Ia susulan isu penjualan semula tiket konsert Coldplay pada harga yang terlalu tinggi.
Sebelum ini tular di media sosial kewujudan akaun di pelbagai platform yang menjual tiket konsert Coldplay, dikatakan dikendalikan ‘scammers’.
Malah terdapat laporan mengenai tindakan menjual semula tiket konsert kumpulan rock popular itu pada harga amat tinggi mencecah RM43,200.
Coldplay akan menjayakan konsert dalam siri jelajah Music Of The Spheres World Tour di di Stadium Nasional di Bukit Jalil pada November ini. – Malaysiapost