‘Luar biasa’ minta ahli Umno undi DAP – Muhyiddin

GESAAN supaya ahli Umno menyokong calon DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang disifatkan sebagai ‘luar biasa’ serta bertentangan dengan prinsip perjuangan parti itu sendiri.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, gesaan itu juga agak janggal namun menyerahkan kepada ahli parti itu sama ada menyahut gesaan itu atau sebaliknya.

“Ini satu perkara yang agak luar biasa kerana kita tahu siapakah DAP sebenarnya. Selama hampir 40 tahun saya berada dalam Umno, ini kali pertama saya dengar pemimpin mereka suruh sokong DAP.

“Kajian kami (PN) mendapati pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang lalu, isu peralihan sokongan pengundi Umno kepada DAP tidak pernah berlaku.

“Yang berlaku ialah mereka (pengundi) menyokong PN kerana perjuangan Umno bukan lagi seperti asal,” katanya ketika menghadiri Rumah Terbuka Aidifitri Parlimen Pagoh dan DUN Bukit Kepong di Kompleks Sukan Pagoh, hari ini.

Ditanya sama ada gesaan mengundi calon DAP disebabkan Umno terdesak, Muhyiddin berkata, mereka tahu tindakan diambil pemimpin Umno khususnya Presidennya, membuatkan parti itu seolah-olah sudah sampai penghujung hayat.

“Mereka (pemimpin Umno) membuat kenyataan bercanggah dengan dasar dan perjuangan Umno. PRN akan datang akan membuktikan bahawa sebahagian besar orang Melayu tidak lagi menyokong perjuangan Umno.

“Saya tahu kerana pernah menjadi Timbalan Presiden Umno dan semua yang berlaku hari ini bercanggah, bertentangan dan tidak sehaluan dengan matlamat perjuangan asal.

“Carilah mana-mana yang boleh berbaki sokongan itu, menyokong Umno, tapi saya jangka sebahagian besar orang Melayu yang waras dan mendokong perjuangan Umno, tidak akan mengikut seruan pemimpin mereka kerana bercanggah dengan dasar dan amalan parti itu,” katanya.

Semalam, Ahlli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan meminta ahli parti itu menyokong calon DAP di kawasan masing-masing demi mengukuhkan Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, apabila ahli Umno sudah berada di dalam Kerajaan Perpaduan, maka ahli hendaklah mengikut disiplin parti. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights