DATUK Seri Mohamad Sabu mengarahkan pegawai Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bertemu terus dengan petani yang berdepan isu penurunan harga sayur.
Menteri KPKM itu berkata, beliau telah menerima beberapa aduan tentang penurunan harga beberapa jenis sayur-sayuran sejak dua minggu lalu.
Katanya, perkembangan tersebut telah
menggusarkan para petani dan beliau mahu ia diselesaikan segera.
“Daripada laporan yang saya terima, kebanyakan petani ini tidak mendaftarkan usaha mereka dengan Jabatan Pertanian kerana beberapa sebab.
“Antara sebabnya adalah masalah status tanah yang tidak jelas seperti kes yang berlaku di Jalan Kebun Klang,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Mohamad berkata, apabila petani tidak berdaftar dengan Jabatan Pertanian di daerah masing-masing, maka banyak maklumat seperti bantuan input pertanian, inisiatif Skim Harga Lantai FAMA serta bantuan khidmat nasihat dan rundingan tidak sampai kepada mereka.
“Justeru saya menyeru kepada semua petani yang belum berdaftar dengan Jabatan Pertanian supaya segera mendaftarkan usaha mereka bagi memudahkan Kementerian membantu mereka.
“Tidak ada apa yang perlu dibimbangkan kerana Kerajaan Madani sentiasa cakna dan peduli dengan nasib petani di negara ini,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya. – Malaysiapost